Allah berkata dalam surah al-Baqarah ayat 172, "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah apabila benar-benar hanya kepadaNya kamu menyembah." Imam Qurtubi mentafsirkan 'rezeki yang baik-baik' sebagai 'makanan yang bermanfaat daripada segala sudut.' Mengambil makanan yang seimbang termasuk dalam manfaat ini kerana ia mendatangkan kesan positif kepada kesihatan.
Buah tamar adalah lambang makanan seimbang pada zaman Nabi Muhammad kerana ia mengandungi semua khasiat yang diperlukan. Jadi, utusan Tuhan menggemarinya. Menurut Bukhari dan Muslim, Abdullah bin Jaafar melaporkan, "Saya melihat Rasulullah makan tamar basah dan sayur jenis mentimun." Mengikut kajian, 100 gram buah tamar mengandungi lebih kurang 60 hingga 70 peratus karbohidrat, 15.3 peratus air, 2.5 peratus protein, 0.4 peratus lemak, 2.1 peratus zat-zat logam dan 3.9 peratus serat. Kandungan serat yang tinggi dan lemak yang rendah di dalam tamar berkhasiat bagi manusia.
Secara umumnya, terdapat lima kumpulan makanan yang diperlukan oleh manusia. Kumpulan-kumpulan itu adalah kumpulan karbohidrat seperti nasi, gandum, roti dan gula. Kumpulan protein seperti daging dan ikan. Kumpulan lemak seperti minyak dan krim. Kumpulan tenusu seperti susu dan dadih dan kumpulan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Karbohidrat
Menurut Abu Daud, Yusufbin Abdullah bin Salam melaporkan, "Aku melihat Rasulullah mengambil sekeping roti gandum dan diletakkan tamar di atasnya dan memakannya." Setiap individu memerlukan 50 hingga 60 peratus karbohidrat dalam makanannya setiap hari kerana ia mendatangkan tenaga atau calories.
Karbohidrat yang terbaik adalah karbohidrat kompleks atau complex carbohydrate, yang terdapat di dalam pasta, bijirin, gandum, nasi dan yang seumpamanya. Karbohidrat kompleks tidak hanya berfungsi sebagai makanan yang menyalurkan tenaga kepada manusia melalui gula aslinya. la juga mempunyai zat-zat logam, vitamin dan bahan serat yang penting bagi kesihatan manusia. Sebaliknya, karbohidrat biasa seperti yang
terdapat dalam gula-gula, coklat, sirap dan air botol bergas, hanya mempunyai kalori tanpa vitamin, zat logam dan serat. Jadi, ia kurang berkhasiat dan pengambilannya perlu dikurangkan ataupun dihentikan.
Protein
Menurut Bukhari dan Muslim, daripada 'Amr bin Umayyah, "Beliau melihat Rasulullah memotong daging kambing untuk dimakan dengan menggunakan sebilah pisau. Apabila suara azan berkumandang baginda berhenti dan terus bangun bagi melaksanakan solat."
Protein ialah rangkaian asid amino yang mengandungi karbon, nitrogen, hidrogen dan oksigen. la menjadi komponen utama otot, organ dan kelenjar di dalam tubuh badan manusia. Badan kita memerlukan lebih kurang 20 asid amino bagi diproses menjadi protein. Sembilan daripada asid-asid amino ini perlu diperoleh daripada makanan kerana tubuh badan manusia tidak mampu menghasilkannya. Protein yang terdapat dalam setiap daging dan produk binatang mengandungi asid-asid amino yang diperlukan ini secara lengkap. Sebaliknya, protein sayur-sayuran, bijirin dan buah-buahan tidak mengandunginya secara lengkap. Oleh itu, mereka yang tidak memakan daging iaitu golongan vegetarian, perlu mengambil pelbagai jenis sayur-sayuran, bijirin dan buah-buahan supaya asid amino yang diperlukannya mencukupi.
Bagi menjaga kesihatan, 20 peratus daripada tenaga kalori seseorang perlu datang daripada sumber protein. Sebaik-baik protein adalah yang rendah kadar lemaknya, seperti yang terdapat dalam daging binatang ternakan yang dibuang kulitnya, ikan, kekacang dan bijirin. Seseorang yang mengambil daging binatang secara berlebihan akan menaikkan kadar lemak tepu dan kolesterol dalam darahnya dan keadaan ini membebankan buah pinggang dan akhirnya mengancam kesihatannya.
Lemak
Menurut Tarmizi dan Ibn Majah, Nabi Muhammad berkata, "Makan minyak zaitun, dan sapu kulitmu dengannya kerana ia datang dari pohon yang diberkati." Lemak mengandungi
karbon, hidrogen dan oksigen. la diperlukan oleh manusia kerana ia membekalkan asid lemak atau fatty acids, terutamanya linoleic acid yang diperlukan bagi memantapkan sistem pembekuan darah, mengawal darah tinggi, radang sendi dan yang seumpamanya. Lemak juga berfungsi sebagai pembekal tenaga kepada manusia di samping pembawa vitamin A, D, E dan K dalam darah.
Secara dasarnya, terdapat dua jenis lemak, iaitu lemak tepu atau saturated fat dan lemak tak tepu atau unsaturated fat. Lemak tepu terdapat dalam daging-daging binatang, produk tenusu, ais krim dan minyak kelapa. Lemak tak tepu pula terbahagi kepada dua, iaitu, lemak monounsaturated yang terdapat dalam minyak zaitun dan kacang tanah dan lemak polyunsaturated yang terdapat dalam minyak jagung, bunga
matahari dan kacang soya. Lemak tepu mengandungi banyak kolesterol dan pengambilannya secara berlebihan menyebabkan kegemukan sekali gus meningkatkan risiko seseorang diserang sakit jantung koronari. Justeru, lemak tak tepu perlu diutamakan dalam pemakanan seseorang. Bagi mereka yang berumur lebih daripada dua tahun, sumber tenaga kalori yang diperoleh daripada lemak tidak sepatutnya melebihi 30 peratus daripada makanan harian mereka.
Susu dan Produk Tenusu
Menurut Muslim, Abu Hurairah berkata, "... Nabi Muhammad menyuruh supaya susu kambing dibawa kepada baginda dan selepas dibawa, baginda minum segelas daripadanya. Kemudian apabila baginda diberikan gelas yang kedua baginda tidak menghabiskannya dan berkata, 'Orang Islam minum dengan satu perut, sedangkan orang kafir minum dengan tujuh perut'."
Susu dan produk tenusu atau dairy products, mengandungi banyak lemak tepu. Oleh itu, pengambilannya perlu dihadkan. Namun produk-produk ini ada kepentingannya kerana ia
mengandungi kalsium, vitamin B12, B2, A dan D. Cara yang terbaik adalah memilih susu yang mempunyai kadar lemak yang rendah supaya khasiatnya dapat dimanfaatkan.
Buah-buahan dan Sayur-sayuran
Menurut Bukhari dan Muslim, Abdullah bin Jaafar melaporkan, "Saya melihat Rasulullah memakan tamar basah dan sayur jenis mentimun." Makanan daripada kumpulan ini perlu diperbanyakkan kerana khasiatnya tinggi. Kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai kadar lemak yang rendah. Oleh itu, pengambilannya mengurangkan lemak dalam badan dan ini bermanfaat bagi mereka yang hendak mengawal kegemukan. Tambahan daripada itu, makanan daripada kumpulan ini mempunyai serat, vitamin dan zat-zat logam yang dapat mencegah seseorang daripada dihinggapi penyakit kanser. Selain itu, ia juga dapat memantapkan sistem pertahanan di dalam badan. Kesimpulannya, makanan yang seimbang ialah makanan yang halal dan berkhasiat yang mempunyai bahan karbohidrat kompleks, sayur-sayuran dan buah-buahan. Di samping itu, ia juga perlu mengandungi protein yang diambil daripada sumber yang rendah kadar lemaknya dan bahan lemaknya pula dipilih daripada kumpulan yang tak tepu.
Perubatan Islam Dan Bukti Sains Moden, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millennia SDN.BHD.Selangor, 2010, hal 31
No comments:
Post a Comment