JITRA: Segelintir petani di sini dikesan menjual racun padi subsidi kepada pihak tertentu bagi mendapat keuntungan mudah berikutan bahan itu diberikan secara percuma oleh kerajaan.
Perbuatan tidak bertanggungjawab dikesan selepas seorang petani tertipu dengan pemilik kedai baja dan racun di Pantai Halban, di sini yang menjual kepadanya racun subsidi.
Md Saad Pin, 59, dari Kampung Pasir, Mukim Naga di sini, berkata pemilik kedai terbabit menunjukkan katalog jenis racun yang dijual di kedainya dan didakwa dikeluarkan oleh kilang milik persendirian serta dijual dengan pelbagai peringkat harga.
Katanya, pemilik kedai itu mencadangkannya supaya membeli racun jenis Padan yang khusus untuk serangan serangga perosak di sawahnya itu dengan harga RM30 sekotak.
"Pemilik kedai itu membungkus racun berkenaan dengan plastik hitam menyebabkan saya tidak memeriksa label di kotak racun itu kerana menyangka racun yang serupa seperti yang dipilih di dalam katalog.
"Apabila tiba di rumah dan mahu menggunakan racun itu, saya terperanjat kerana label di kotaknya menunjukkan ia hak milik kerajaan dan tidak boleh dijual," katanya ketika ditemui.
Md Saad membeli racun berkenaan setelah tidak mendapat bekalan dari Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang tidak membekalkan racun jenis itu di kawasan sawah GII dan HII.
Katanya, dia percaya bekalan racun itu tidak dijual oleh petani di sekitar kawasan Jitra.
Beliau juga kecewa dengan tindakan sesetengah petani yang menyalahgunakan bantuan subsidi kerajaan kerana mereka seolah-oleh tidak menghargai pemberian terbabit.
"Sebagai petani, saya amat memerlukan bantuan racun subsidi itu, tetapi ia tidak
dibekalkan kepada kami dan MADA hanya membekalkan tiga jenis racun iaitu racun
untuk tikus, siput gondang dan juga kulat.
"Sebaliknya saya pula tertipu dan terpaksa membeli barang yang subsidi kerajaan secara percuma dengan harga yang mahal dan saya percaya mereka yang tergamak menjual racun subsidi itu memperoleh bahan itu di luar Kedah,"katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Kedah, Ismail Salleh ketika dihubungi berkata, racun atau baja subsidi adalah pemberian kerajaan bagi memastikan petani mampu menghasilkan pengeluaran padi yang lebih banyak dan ia tidak boleh dijual dengan apa cara sekalipun.
Katanya, beliau akan menyiasat dengan lebih terperinci mengenai kejadian itu dan mengadakan pemantauan lebih kerap di kedai menjual baja dan racun yang menjadi tumpuan petani atau mereka yang berkenaan menjual barangan subsidi kerajaan.
"Pemilik kedai mahupun petani sendiri dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan tawaran antara satu sama lain yang mahu membeli atau menjual baja atau racun demi mencari keuntungan peribadi.
"Kegiatan ini adalah salah kerana kerajaan memberikan bantuan itu demi kebaikan hidup petani dan sesiapa yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman dan denda yang setimpal," katanya.
Berita Harian, Irma Enany Mohd, The New Straits Times, Kuala Lumpur, 23.7.2010; Edisi Utara hal.6
No comments:
Post a Comment